Saturday 16 March 2024

10 Destinasi Menarik Dan Percuma Di Bandar Kuantan

Assalamualaikum Dan Salam Sejahtera 1Malaysia

Alhamdulillah sebelum kedatangan Bulan Ramadhan baru-baru ini aku bersama seisi keluarga sekali lagi ke Kuantan atas urusan kerja. Maka secara tak langsung aku bawa semua anak bersama untuk bercuti sekali alang-alang tengah cuti sekolah minggu akhir ini. Kita bagi mereka happy-happy sikit sebelum masuk sekolah.

Bandar Kuantan ni boleh dikatakan sebagai bandar yang paling banyak aku pergi atas faktor kerja. Pergi seorang diri atau kadang bersama wife dan kadang-kadang the kids pun ikut sekali. Balik hari pun ada, stay satu atau dua malam dan paling lama kena stay sampai seminggu.

Okay cukuplah intro tu jom kita terus ke 10 destinasi menarik dan paling penting ia adalah percuma di Bandar Kuantan. Yang berbayar aku tak masukkan dalam list di sini korang jangan salah faham pulak tau. Dan aku boleh kategorikan Bandar Kuantan ini sebagai destinasi bajet keluarga untuk rakyat marhain B40 macam aku ni.

1. Masjid Negeri Pahang - Masjid Sultan Ahmad 1

Merupakan sebuah masjid terbesar di Negeri Pahang dan mampu memuatkan lebih 10,000 orang jemaah dalam satu-satu masa. Mempunyai 4 buah menara yag diperbuat dari marmar setinggi 180 kaki. Masjid ini terletak di tengah-tengah Bandar Kuantan di Jalan Mahkota. Masjid ini dirasmikan oleh Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar pada 21 Oktober 1994.

Masjid Negeri Pahang - Masjdi Sultan Ahmad 1
2. Laman Menara Kuantan 188

Terletak di satu tempat yang mana orang tempatan menyebut sebagai Benteng Kuantan dan di situ juga terletaknya Menara 188 Kuantan. Sebuah taman yang cantik sesuai untuk membawa keluarga terutama yang mempunyai anak kecil. Antara tarikan utama adalah sebuah Kubah berwarna hijau yang dikelilingi oleh beberapa gerai jualan makanan dan minuman seperti aiskrim yogurt. Terdapat juga outlet Freshfarm di sini.

Laman Menara 188 Kuantan
Ice Cream Berlemok Gula Apong memang terbaik :D
Fresh Farm pun ada di sini.
3. Kuantan Art Street

Suasana lebih indah apabila anda datang berkunjung ke sini pada waktu malam. Pencahayaan yang baik membolehkan anda mengambil gambar pada setiap lukisan rural dan 3 Demensi (3D) di semua dinding yang ada di jalan belakang bangunan ini. Jalan yang dihiasi seni lukisan ini adalah sepanjang 200 meter. Telah disiapkan oleh 6 orang anak jati Pahang pada tahun 2020.

Kuantan Art Street
4. Pantai Teluk Sisek

Kalau anda mencari pantai yang tenang dan tidak jauh dari kawasan bandar boleh la ke Pantai Teluk Sisek ini. Berpuluh kali aku ke sini memang boleh kira hanya beberapa orang sahaja yang berkunjung ke sini. Terletak berhampiran dengan Royal Pahang Golf Club dan paling menarik terdapat kewujudan "Dinosaur" kalau anda tak percaya boleh ke Zoo Teruntum bersebelahan dengan Pantai teluk Sisek ini.

Pantai Teluk Sisek yang sentiasa tenang, aman dan bersih.
Dinosaur Encounter at Teruntum Zoo.
5. Taman Gelora Kuantan di Pantai Gelora

Di sini terdapat beberapa attraction yang menarik antaranya jambatan gantung, taman permainan kanak-kanak, trek jogging dan berbasikal, pelbagai jenis gerai jualan makanan, terdapat night market pada setiap hari Ahad dari jam 5.00 petang sehingga 9.00 malam. Amat sesuai jika datang untuk membuat aktiviti seisi keluarga. Di sini juga letaknya Masjid Tanjung Api yang indah di tepi pantai. Dan antara port mancing yang terbaik.

Cuba teka haiwan ini diperbuat dari bahan kitar semula apa?
Laman Kitar Semula di Taman Gelora.
6. Air Terjun Sekilau di Bukit Sekilau

Siapa sangka terdapat air terjun di tengah Bandar Kuantan. Dengan hanya trekking tak sampai 40 minit anda sudah boleh membasahkan kaki di air terjun. Keadaan air terjun tidaklah begitu besar tapi memang cantik. Boleh mandi tapi tak boleh la nak terjun tiruk bagai. Jika anda meneruskan trekking ke atas air terjun anda akan sampai di Trek Pokok Balau yang membolehkan anda ke sebuah lagi air terjun di Bukit Galing. 

Trek yang santai dari awal sehingga ke air terjun.
7. Telok Chempedak

Pantai Telok Chempedak ini rasanya semua orang dah sedia maklum dan terlalu sangat famous sampai wujud dalam Permainan Saidina. Sebuah kawasan peranginan pantai yang terdapat banyak kedai menjual peralatan mandi dan souvenir. Dan terdapat beberapa restoran ternama yang wajib di boikot seperti Starbuck, McDonald dan KFC. Paling menarik ada jambatan kayu bagi menyusuri tebing di hujung pantai.

8. Pantai Anak Air

Kawasan pantai yang kurang pengujung ini terletak tak jauh dari Tanjung Lumpur. Kawasan yang juga jauh dari orang ramai namun terdapat beberapa orang peniaga dan taman permainan serta bilik mandi yang disediakan bagi membersihkan diri selepas mandi laut. Uniknya di sini kerana jika bernasib baik kita akan dapat melihat orang-orang berlatih menunggang kuda. Dan di sini juga salah satu port baik untuk memancing pantai.

Pantai yang tenang sambil layan tengok orang memancing.
Mostly yang berkuda di sini nampak macam perempuan jer.
9. Pantai Sepat

Sama seperti Pantai Anak Air dan tidak begitu jauh antara satu sama lain dan juga amat sesuai untuk aktiviti seisi keluarga seperti picnic, memancing dan sebagainya. Terdapat sebuah pusat penginapan berdekatan iaitu Swiss-Belhotel Kuantan. Cuma istimewa di sini anda boleh join melakukan aktiviti bersama orang kampung mencari Remis di saat air laut surut. Terlalu mudah untuk mendapat sekilo dua Remis di sini tau.

Remis di Pantai Sepat, Kuantan.
10. 12 Kubu Pertahanan British Perang Dunia Kedua

Okay yang ini aku letak last sebab dia agak susah sedikit. Ada beberapa buah kubu yang agak mudah dijumpai dan ada yang agak susah sedikit untuk dijumpai namun kesemua kubu ini masih wujud sehingga ke hari ini. Bagi aku ia adalah satu destinasi yang amat menarik dah jadi macam permaian treasure hunter pulak bila nak cari kesemua 12 buah kubu ini.

Antara salah satu dari 12 Kubu British yang telah dibaik pulih di Kuantan.
Antara lokasi 12 kubu ini adalah di Jeti Pasar Nelayan Balok, berdekatan Taman Gelora, di De Rhu Beach Resort, berdekatan Swiss Garden, berdekatan Timur Bay, bersebelahan perkuburan tak jauh dari Pantai Batu Hitam, di Pantai Pelindung berdekatan dengan Mee Calong, di Pantai teluk Cempedak 3 berdekatan dengan Bukit Pelindung. dan di Pantai Telak Cempedak.

Friday 15 March 2024

Umrah Mantop Travel Part 7 : Mendaki Gua Hira' Jabal Al Nour Di Waktu Malam

Assalamualaikum Dan Salam Sejahtera 1Malaysia

Sambungan Dari Umrah Mantop Travel Part 6 : Explore Sekitar Masjidil Haram Ketika Acara Bebas

Pada hari yang ke4 kami di Mekah. Mutawif Ust Atif telah bertanya di dalam group whatsapp "Kalau ada yang berminat untuk naik mendaki ke Gua Hira pada waktu malam selepas Solat Isya' dengan bayaran seorang 10 Riyal dengan minimum cukup untuk sebuah van Toyota Hi Ace". Alhamdulillah boleh dikatakan majoriti semua pergi kecuali yang ada keuzuran. 

Berada di puncak Gunung Al Nour. Dari puncak kita akan turun sedikit dalam 40 meter untuk ke Gua Hira'. Okay semua gambar di waktu malam so faham-faham la tak berapa nak cantik :D
Perjalanan dengan 3 buah Van Toyota Hi Ace yang memuatkan setiap van seramai 10 sehingga 12 orang jemaah. Gua Hira yang terletak 9.4km dari Kota Mekah ini (5km sekiranya berjalan kaki ketika zaman rasulullah) mempunyai 3.7 meter panjang dan 1.6 meter lebar. Dan mempunyai kira-kira 600 anak tangga yang tidak sama saiz dari segi besar dan tinggi untuk setiap anak tangga itu. Dan ketinggian Jabal Al-Nour adalah 642 meter. 

Keadaan kami yang bersemangat di dalam van menuju ke Gua Hira' 
Jarak antara Masjidil Haram ke Jabal Al Nour adalah sejauh 9.4km dengan menaiki kereta.
Letaknya pada tebing yang agak curam walaupun Jabal Al Nour tidaklah terlalu tinggi. Namun begitu, pendakian menuju ke Gua Hira melalui jalan lereng-lereng yang kering dan berbatu. Setiap orang haruslah memiliki kekuatan fizikal dan mental yang kuat. Apatah lagi semasa pendakian terasa bahang haba yang panas dan berdebu sehingga perlu menutup mulut dan hidung dengan kain.

Dari bawah terlihat ada gerai di tengah pendakian tapi bila sampai dah tutup.
Alhamdulillah ada juga satu kedai menjual minuman dan souvenir di puncak.
Memang terus beli air gas nak tambah tenaga hahaa.. Tapi harga faham-faham la.
Kami memulakan langkah sejauh 50 meter dari pintu hotel ke tempat van menunggu kerana pada waktu itu tidak dibenarkan sebarang pengangkutan masuk ke kawasan berhampiran Masjidil Haram. Dan kami telah sampai di kawasan perumahan di tebing Jabal Al Nour selepas hampir 20 minit perjalanan. 

Jalan yang teramat curam untuk ke entrance. 
Van tidak berhenti di hadapan pintu masuk entrance pendakian kerana jalan yang teramat curam. Kami yang berjalan kaki beberapa meter untuk ke entrance pun rasa seram sehingga ada yang tiba-tiba hilang imbangan menyebabkan ada yang terduduk. Dan ada yang berpangku lengan sesama mereka kerana curam jalan yang teramat.

Ini gambar dari Iphone 15 plus Abg Yan. Dari malam boleh nampak macam siang tu.
Keadaan sepanjang pendakian. Berbatu dan berdebu. Aku terpaksa pakai facemask.
One thing nasihat yang aku boleh berikan di sini adalah di Tanah Suci ini kita kena jaga percakapan walau apa sekali pun. Especially janganlah nak berkata-kata membanggakan diri apatah lagi bersikap sombong dan sebagainya sebab balasan dia memang tunai Allah Taala bagi. Sebab tu juga sebelum pergi minta ampun dari Allah dan berdoa moga Allah terima Ibadah Umrah dan segala ibadah kita di tanah suci.

Kita akan naik dari arah depan dan Gua Hira' berada di bahagia belakang puncak.
Once berada di puncak kita akan nampak Gua Hira dan kawasan perumahan disebalik gunung.
Keadaan Gua Hira' yang hanya boleh memuatkan dua orang setiap satu masa. Jika anda berpeluang bersolat maka janganlah lama-lama, berilah peluang kepada yang lain yang sedang que.
Pada yang kaki hiking tu especially tenang-tenang sudah, banyakkan berzikir dari berkata-kata yang tidak seharusnya. Cuaca dan debu yang kuat di sini memang tak sama dengan keadaan hiking di Malaysia. Yang penting niat kita nak sampai di Gua Hira' dan berpeluang untuk solat 2 rakaat. Ramai juga yang tercundang di pertengahan pendakian. Mungkin kalau ketika musim sejuk tidak menjadi masalah besar tapi berjaga-jagalah ketika hadir di musin panas.

Dari puncak Jabal Al Nour boleh kelihatan Makkah Clock Tower.
Keadaan anak tangga tidaklah diselia baik oleh pihak bertanggungjawap tapi kita akan terjumpa di pertengahan pendakian ada beberapa orang awam membaikinya dengan initiative sendiri. Maka hulurkanlah sekeping dinar untuk usaha mereka kerana keadaan anak tangga yang elok  dan memudahkan anda pergi ke Gua Hira adalah kerana usaha mereka jua. 

Muka bahagia selepas berjaya ke Gua Hira' dan antara yang awal turun semula ke bawah.
Gua ini terkenal sebagai tempat di mana Nabi Muhammad menerima wahyu yang pertama daripada Allah melalui Malaikat Jibril. Gua Hira adalah tempat di mana Nabi Muhammad selalu menyendiri dan bermunajat selain bertahannuth dan bertaqarrub kepada Allah selama tiga tahun. Baginda juga selalu ke situ bagi menghindari masyarakat Arab Jahiliyah yang pada saat itu masih belum beriman kepada Allah dan sering melakukan maksiat dan dosa-dosa besar.

Wajah-wajah mereka yang telah berjaya ke Gua Hira dan pulang je entrance.
Selepas turun dari pendakian terdapat sebuah kedai runcit di sebelah kiri entrance yang menjual minuman dan di situlah para pendaki tadi akan melepaskan lelah penat dahaga mereka. Nak minta air panas seperti teh dan kopi pun ada malah owner kedai juga boleh bercakap beberapa perkataan dalam bahasa Melayu. Boleh tahu dari situ betapa ramainya umat melayu singgah di situ :D

Bersambung Umrah Mantop Part 8 : (Under Construction)

Wednesday 13 March 2024

Umrah Mantop Travel Part 6 : Explore Sekitar Masjidil Haram Ketika Acara Bebas

Assalamualaikum Dan Salam Sejahtera 1Malaysia.

Sambungan Dari Umrah Mantop Travel Part 5 : Ziarah Sekitar Kota Mekah - Miqat Di Masjid Ja'ranah

Selama beberapa hari di kota Mekah terdapat waktu-waktu yang tiada aktiviti dari pihak travel agent adakala sepanjang hari tiada sebarang aktiviti maka kita boleh guna waktu itu untuk explore sendiri kawasan sekitar Masjidil Haram sehinggalah ke sekitar kawasan hotel. Kerana banyak tempat-tempat menarik untuk dilawati seperti tempat shopping, tempat makan yang menarik dan boleh ke tempat berkenaan sejarah islam.

Umrah pertama kali pada tahun 2018, pintu masuk utama King Abdul Aziz sebelah kanan tu langsung tak boleh masuk disebabkan masih lagi dalam pembinaan. 
Di hari kedua selepas solat subuh aku bersama abang ipar berjalan pulang ke hotel dan secara bersahaja aku telah menegur seorang lelaki Pakistan semasa menuruni tangga. Beliau yang menetap di Dubai telah memandu ke Mekah bagi menunaikan Umrah bersama 5 orang lagi sahabat beliau. Disebabkan juga aku menegur beliau dalam bahasa urdu. Maka terus dia ajak aku sarapan selepas tahu aku belum bersarapan lagi.

Besar area Pigeon Square dari tempat berdiri ini sehinggalah ke bangunan putih belakang tu.
Ada beribu-ribu Merpati di sini tapi keadaan bersih sebab ada petugas pembersih 24 jam.
Aku pun inform abang ipar (Abg Yan) bagitau diorang nak belanja kita breakfast. Terus Abg Yan kata "Ish engkau ni biar betul, boleh caya ker?" Aku kata rileks jer la Mekah ni semua orang baik-baik hahaha.. Orang nak belanja makan kita on jer lah. Kami pun ikut dari jalan besar sehingga la ke lorong-lorong kecil di celahan bangunan. Sehinggalah tiba di sebuah restoran Pakistani.

Pemuda Pakistan tu tanya aku nak makan apa. Aku jawap "Jo bhi ap khayenggei, mei kahungga, Us mei koyi haraj nehei" Apa yang korang makan aku makan, jangan risau. Macam mana korang nak baca bunyi bahasa urdu tu korang bacalah hahaha.. Sebab aku menulis urdu dengan menggunakan alphabet urdu bukan ABC yer :P

Alhamdulillah jumpa orang-orang Pakistani yang baik belanja breakfast :D
Alhamdulillah kenyang. Memang kalau tak tahu berbahasa Urdu susah nak makan kat sini.
Sebab cashier dia memang hanya boleh berbahasa Urdu. Memang padu makanan kat sini.
Kesilapan utama makan dengan orang pakistani adalah diorang makan memamg banyak dan adat makan dengan mereka kena duduk sampai last person habis makan. Bayangkan Roti Nan di Malaysia saiz di sini dua kali ganda besar tapi nipis sediki dan sedap. Kami bertujuh makan sampai 13 keping. Abg Yan sampai dah tak keluar suara sebab kekenyangan. Mereka order Ayam Kari, Ayam Dhal, Ayam Yogurt, Kari Kentang Kering dan Kari Kambing.

Okay area tempat makan ni mostly semua jemaah dari Pakistan, India, Bangladesh, Sri Lanka dan Afghanistan selain nama-nama ni memang tak ada kaum lain. Kalau hotel kami di Ibrahim Al Khalil Road maka kedai makan ni berada 2 -3 blok bangunan di belakang. Dan harga barangan sekitar sini juga jauh lebih murah dari area shopping di Al Safwa Tower.

Kena faham betul-betul keadaan Geography persekitaran Masjidil Haram Insyallah tak sesat.
Jabal Omar Jumeirah Complex ni besar dan panjang sehinggakan Hilton Hotel pun is part of it. Terletak di Ibrahim Al-Khalil Road
Ada few shopping mall berhampiran dengan Masjidil Haram sesuai untuk cari makanan dan barang pakaian yang aku rasa antara destinasi wajib untuk dikunjungi. Pertama Jabal Omar Mall berada bersebelahan dengan Hilton Hotel berada di arah kiri Makkah Clock Tower. Di sini terletaknya Restoran Al-Baik sebuah jenama fast food made in Arab Saudi yang sedap. Harap sangat buka branch di Malaysia.

Mutawwif first umrah Ust Amar bagitau kalau tak makan di sini tak lengkap perjalanan di Mekah.
Dan kedua Al Safwa Tower Mall yang berada di dalam Makkah Clock Tower itu sendiri. Di sini ada ramai orang Malaysia bershopping dan makan di food court sebab ada restoran orang Malaysia di sini. Di bahagian sayap kiri Makkah Clock Tower juga ada sebuah lagi mall. Dan bersebelah Makkah Clock Tower ada bangunan Makkah Tower di situ terletaknya Pasaraya Carrefour dan Masjid Abu Bakr Siddiq.

Pandangan di tengah-tengah Makkah Tower ada escalator dari bawah naik ke atas sehingga ke Masjid Abu Bakr Siddiq yang terletak satu level di atas level food court.
Ada berpuluh restoran dari pelbagai jenis makanan especially dari timur tengah.
Namun makanan Melayu di Mekah terutama di Food Court Makkah Clock Tower tu bagi aku tak perlu la makan sebab harganya mengalahkan T20. Dan rasa pun biasa-biasa jer kot hahaha.. Tak tau la kalau lidah korang yang rasa macam mana. Even kalau sedap sekali pun tapi harga dia fuhh kus semangat hahahaha.. Bakso Mee Bebola Daging 3-4 ketul RM20.00 semangkuk di Madinah.

Kita layan makanan arab jer sebab di tanah arab hihii.
Pening nak habiskan, order nasi arab tapi roti pun dapat sekali. okla makan 4 orang.
Tengok orang arab kat meja depan bentang plastik tabur makanan. Kita pun follow la :D
Pemandangan Pullman ZamZam Makkah Tower dari Ibrahim Khalil Road.
Kalau nak beli barangan keperluan make sure beli di Carrefour ini sebab harga di kedai runcit yang bersepah di sekitar Mekah ini boleh tahan mahal termasuk ubat-ubatan pun boleh beli di sini. Okay sedikit info lagi kenapa mall tadi dipanggil Jabal Omar kerana di situlah terletaknya Rumah Umar Al Khattab ra. Dan di Makkah Tower ada sebuah Masjid Abu Bakr Siddiq kerana di situlah lokasi Rumah Abu Bakar ra. By the way jangan tersilap Makkah Tower dengan Makkah Clock Tower. 

Inilah pemandangan Makkah Tower daripada bahagian depan.
Jalan Hijrah terletak di antara Makkah Clock Tower (kiri) dan Makkah Tower (kanan).
Makkah Tower ni ada dua sayap bangunan di sebelah kiri dikenali sebagai Pullman ZamZam Hotel dan di sebelah kanan dikenali sebagai Bin Dawood Makkah Tower Shopping Mall yang ada Pasaraya Carrefour tu. Dan di semua bangunan bersambung dengan Masjidil Haram ada menyediakan ruang solat yang berimamkan imam di dalam masjidil haram. Maka kalau solat di ruang-ruang tersebut maka di kira bersolat di dalam masjdil haram juga, termasuklah Masjid Abu Bakr Siddiq.

Ruang solat di Masjid Abu Bakr Siddiq di Makkah Tower.
Dan di antara bangunan Makkah Clock Tower dan Makkah Tower ada satu jalan di tengah-tengah. Di jalan itulah bermulanya sejarah hijrah Nabi Muhamad saw bersama Abu Bakar Siddiq ra ke Kota Madinah Munawwarah. Dan sekarang jalan itu dinamakan Jalan Hijrah nama dalam Arabic aku dah lupa huhuu..

Menunggu Azan Maghrib berkumandang walau ada lagi 20 minit nak masuk waktu orang dah mula memenuhi setiap ruang di roof top ini. Lantai masjid ketika ini agak panas. 
Walau masih terasa bahang panas tapi rasa lega selepas menunaikan solat magrib.
Keadaan ketika solat magrib di roof top. Still terasa bahang panas sekali jer try solat roof top ni.
Okay one last thing aku nak share ialah berkenaan solat fardu 5 waktu sehari di dalam Masjidil Haram. Untuk yang tidak memakai ihram bagi lelaki anda tidak dibenarkan masuk dibahagian tingkat satu iaitu kawasan di mana terletaknya Ka'bah. Hanya dibenarkan bersolat di tingkat 2 dan ketika 30 minit sebelum azan jemaah yang hadir hanya akan dibenarkan solat di rooftop sahaja.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...